Saya Cepat Bosan – Elizabeth Tan

Penyanyi, Elizabeth Tan, 25, mengakui dirinya mudah bosan dan ia antara punca hubungan cintanya sebelum ini tidak bertahan lama.

Penyanyi lagu Police Entry itu berkata, sikapnya yang gemar menyendiri dan sentiasa berkurung dalam bilik membuatkan dia tidak ramai kawan.

“Mungkin sebab itu susah untuk saya kekal lama dalam perhubungan. Hampir lima tahun dalam industri, tidak mudah sebenarnya untuk sampai ke tahap ini.

“Saya rasa diri ini membosankan, apatah lagi saya kurang bercakap dan tidak pandai bergaul hingga ada yang menganggap saya pelik,” katanya.

Elizabeth berkata, sikapnya itu turut didorong oleh perasaan khuatir berlebihan hingga menyukarkan dia melelapkan mata.

“Sepanjang tahun ini, saya hanya ambil dua tawaran persembahan kerana banyak benda yang bermain di fikiran sebelum muncul di atas pentas,” katanya.

Dia yang akan tampil dengan single kelima, Semua Sudah juga sering ‘bertarung’ dengan dirinya untuk melupakan kebimbangan yang sentiasa bermain di minda.

Turut menyukai bidang lakonan, Elizabeth yang mesra disapa Lizzy mengakui, masalah itu turut disebabkan oleh pembabitan dalam dua cabang seni serentak.

Elizabeth berkata, selama ini dia hanya mempunyai empat teman rapat termasuk pembantu peribadinya, Atirah.

Akuinya, kehadiran Atirah turut mengubah dirinya apabila kehidupannya lebih teratur.

“Jika dia tiada, mungkin saya akan kembali menyendiri seperti dulu.

Dia ada bersama ketika saya lari dari rumah dulu.

“Saya banyak bergantung kepada Atirah dan jika dia tiada, mungkin saya akan berhenti jadi artis,” katanya.

Jom dengar lagu terbaru Elizabeth Tan – Semua Sudah (Lyrics)

Sumber : BeritaHarian