Penantian 10 tahun, Ini Jawapan Padu Azran…Tak Sangka Begitu Istimewa Sekali Sarah Di Matanya

Pandangan kali pertama terhadap gadis idaman membuatkan jantung si teruna berdegup kencang. Dalam jutaan ‘bunga’, Mohd Azran Zainal Abidin, 27, tetap terpesona kepada si gadis genit, Siti Sarah Osman, 27, yang dirasakan mempunyai aura luar biasa.

Benarlah pepatah mengatakan cinta itu buta apabila pemuda berasal dari Pasir Putih, Kelantan itu sanggup menunggu hampir 10 tahun untuk disatukan bersama gadis idaman.

Perkahwinan Mohd Azran menjadi perhatian dan tular di Facebook apabila ramai yang menganggapnya unik dan lain dari yang lain.

Bagaimanapun, anak sulung dari empat beradik itu berbangga dan teruja kerana berjaya memperisterikan insan yang sangat istimewa di mata dan jiwanya.

Tanggal 1 Februari 2019, ikrar cinta dua sejoli akhirnya termeterai dalam satu majlis ijab kabul yang meriah.

Siti Sarah yang tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil tiada kurang baginya dan gadis itu satu-satunya berjaya mengetuk pintu hatinya.

Mohd Azran berkata, pertemuan kali pertama bersama isteri ialah kira-kira 10 tahun lalu ketika mereka mengikuti kem motivasi tingkatan enam di Batu Rakit.

HATI TERUS TERPAUT PADA PANDANGAN KALI PERTAMA

Selepas hampir 10 tahun, pasangan ini akhirnya disatukan.

Menurutnya, sebaik sahaja terpandang gadis kecil molek tersebut membuatkan hatinya terus terpaut.

“Saya dan Sarah mengambil tingkatan enam di Besut tetapi berlainan sekolah. Saya bertemunya ketika kem motivasi dan sejak dari itu saya cuba dapatkan nombor telefon melalui kawan.

“Tiga bulan berkawan melalui telefon, saya memberanikan diri untuk menjadikannya kekasih hati. Walaupun Sarah agak keberatan tetapi dia akhirnya bersetuju dan sejak dari itu bermula percintaan jarak jauh antara kami,” katanya.

Katanya, selepas tamat persekolahan, Sarah melanjutkan pengajian ke salah sebuah institusi pendidikan di Kedah, manakala dia terus bekerja.

“Kami hanya berhubung dan bercinta melalui telefon dan pada ketika itu tiada lagi kemudahan WhatsApp. Walaupun jauh dan kami bertemu dengan ramai orang, setia tetap teguh di dalam diri. Memang saya tidak pandang wanita lain, hanya dia di dalam hati,” katanya.

Cinta jarak jauh tidak menjadi halangan kepada pasangan ini.

TIDAK PERNAH KELUAR BERDUA

Menghormati suri hatinya itu, dia tidak pernah mengambil kesempatan untuk keluar berdua-duaan dan setiap kali ingin bertemu mesti ditemani ahli keluarga atau rakan.

“Tidak kiralah sama ada gadis yang kita suka atau tidak, maruah mereka harus dijaga dan dihormati. Apatah lagi insan yang saya cinta, memang semuanya akan dijaga,” katanya.

Dia yang kini bertugas sebagai penolong pegawai farmasi di Kuala Lumpur berkata, dialah insan paling bahagia apabila dapat memiliki Sarah dan gadis itu tiada sebarang kekurangan baginya.

“Saya rasa bangga kerana dapat memilikinya dan berjanji akan menyayangi Sarah hingga akhir hayat serta ke ‘jannah’.

“Sikap toleransi dan semangat kental yang dimiliki Sarah membuatkan saya tertarik padanya. Memang tiada yang lagi istimewa daripadanya, malah seluruh ahli keluarga juga menyayangi Sarah,” katanya.

Pasangan pengantin bersama ahli keluarga.

BVANG RASA RENDAH DIRI

Manakala, gadis yang berasal dari Jalan Melati, Sura, Dungun, itu berkata, walaupun pada awalnya dia berasa rendah diri tetapi suaminya sentiasa memberi sokongan serta melengkapkan hidupnya.

“Memang ada rasa rendah diri dan bimbang sekiranya suami malu dengan keadaan diri saya tetapi dia sentiasa meniupkan kata-kata semangat. Dia juga memberitahu bangga memiliki insan istimewa seperti saya kerana kami akan saling melengkapi,” katanya.

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @PenPilot

 

 

Sumber : Kampusuols