‘Semoga Allah pertemukan jodoh saya’

“SAYA mahu berdoa semoga dipertemukan jodoh dan menjadi insan yang lebih baik di depan Kaabah nanti,” kata pelakon popular Uqasha Senrose.

Dia berkata demikian ketika mengulas pemergiannya untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah pada hujung bulan ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, dia juga akan menunaikan ibadah umrah buat julung kalinya bersama ibu dan dua adiknya, pelakon Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose selama dua minggu bermula 26 Disember ini hingga 7 Januari depan.

“Sebenarnya, sudah banyak kali mama mengajak saya untuk buat umrah tetapi saya tidak bersedia sebelum ini.

“Saya juga ambil sedikit masa untuk bersetuju menyertai keluarga buat umrah ini. Selain itu, saya perlu pastikan ia tidak bertindih dengan jadual penggambaran drama,” katanya.

Pada masa sama, Uqasha berkata, dia juga sempat meluangkan masa menghadiri kursus umrah baru-baru ini.

“Pelbagai perasaan berbaur antaranya takut dan gementar tapi saya kuatkan hati kerana ibadah umrah bukannya berat seperti ibadah haji.

“Berkat sokongan keluarga, akhirnya hati saya terbuka untuk menunaikan ibadah umrah ini dan semoga ia dipermudahkan di sana nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran sitkom Spanar Jaya X di Sri Pentas di sini, hari ini.

Ditanya sama ada dia akan berhijab selepas kembali dari Tanah Suci Makkah nanti, kata Uqasha, dia enggan mengulas mengenainya penampilannya nanti.

“Saya tahu peminat akan jangka yang macam macam bila saya buat ibadah umrah tetapi saya mahu fokus pada ibadah dan tidak mahu memikirkan perkara itu kerana doa saya untuk menjadi orang yang lebih baik selepas ini,”katanya.

sumber:HM