Zaquan, 2 import baharu sertai Kedah ..

ALOR SETAR: Kapten Harimau Malaya dan penyerang negara, Zaquan Adha Radzak sah menyertai Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menerusi laman Facebook rasmi petang ini selepas sesi menandatangani kontrak di Kuala Lumpur yang menyaksikan penyerang itu menyarung jersi nombor lapan.

Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa turut hadir menyaksikan sesi menantangani kontrak itu hari ini selepas lama menunggu susulan pembabitan Zaquan bersama skuad Harimau Malaya pada Piala AFF baru-baru ini.

“Selamat datang Zaquan Adha dan Zaquan Adha kini Hijau Kuning” itu antara kata-kata ucapan yang dipaparkan KFA dalam Facebook bagi mengalu-alukan kehadiran Zaquan ke Kedah.

Anas berkata, mereka sudah berusaha sekian lama mengadakan perbincangan untuk membawa Zaquan ke Kedah bagi memantapkan jentera serangan musim depan.

“KFA menghormati pemain untuk fokus ketika beraksi pada Piala AFF baru-baru ini dan kami menunggu hingga tugas Harimau Malaya berakhir barulah pengumuman ini dibuat.

“Kehadiran Zaquan diharap membantu kebangkitan susulan prestasi suram sebelum ini dan menyuntik semangat skuad Hijau Kuning menghadapi musim baharu.”

Selain itu, KFA juga mengumumkan dua lagi pemain import iaitu pertahanan kental Renan Alves dari Brazil dan pemain tengah berasal dari Sepanyol, Fernando Rodriguez yang masing-masing berusia 26 dan 31 tahun.

Renan sebelum ini beraksi dengan Borneo FC dalam Liga Indonesia sementara Rodriguez pula bersama Mitra Kukar juga dari liga sama.

sumber: HM